Friday, 12 May 2017

Penting menuntut ilmu sebelum umrah

Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim. Demikianlah mafhum hadis nabi. Walaupun saya pernah mengerjakan umrah, saya juga harus pergi berkursus supaya ilmu tersebut dapat dicerap kali kedua. Barangkali, ada perkara baharu yang hendak disampaikan atau sebagai ulang ingat apa-apa yang telah dipelajari.



Agensi yang saya pilih telah memberi jadual kursus. Sebaliknya, saya tidak dapat menghadiri kursus di Alor Setar atas kekangan masa memandangkan saya bermastautin di Ipoh. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menumpang menghadiri kursus di sebuah agensi umrah di Ipoh.
Kebetulan pula, pejabat agensi tersebut tidak jauh dari rumah saya. Jadi, bolehlah saya menunggang motosikal sahaja untuk ke tempat kursus.
Alhamdulillah. Segala yang dirancang dan perancangan Allah SWT untuk saya berjalan seperti yang diusahakan. Saya telah menghadiri kursus sebanyak dua kali. Selebihnya, saya membuat rujukan kitab-kitab terdahulu dan membaca kembali catatan umrah dahulu.
Hal ini penting supaya kita pergi dengan ilmu dan bukannya sekadar ikut-ikutan. Apabila kita pergi dengan ilmu, maka ibadah kita akan lebih sempurna.
Selanjutnya, apabila kita sudah memasang niat, daftarlah. Kemudian, hadirlah  kursus umrah supaya kita tahu perkara  yang hendak dilakukan sebelum, semasa dan selepas umrah.  Semasa kursus itu, kita akan tahu segala keperluan yang perlu dibawa. Doa yang perlu dibaca dan sebagainya. Secara asasnya, umrah ialah ibadah berniat mengunjungi Baitullahil-Haram untuk mengerjakan tawaf, sai dan bertahalul. Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Rukun umrah :
1.        Niat
2.      Tawaf
3.       Sai
4.      Tahalul
5.      Tertib

Baiklah,  niat pula terdapat beberapa lokasi niat umrah. Antaranya ialah Bir Ali, Ja’ranah, Hudaibiah, Tana’im dan sebagainya. Sekiranya jemaah dari Madinah, maka niatnya di Masjid Bir Ali. Di sanalah kebanyakan orang akan berniat. Selepas niat, tunailah solat sunat ihram.
Sekiranya jemaah dari KLIA ke Makkah, maka niatnya di suatu miqat (sempadan) yang akan dimaklumkan oleh krew penerbangan atau mutawif, sejam sebelum mendarat. Niat umrah berbeza dengan niat ibadah yang lain-lain. Niat umrah mestilah pada lokasinya iaitu miqat. Biasanya dalam pakej umrah, jemaah akan dibawa ke Ja’ranah dan Hudaibiah. Oleh itu, gunakan kesempatan untuk berniat mengerjakan umrah di sana.
Seterusnya, lokasi miqat yang paling dekat dengan Makkah ialah Tana’im. Untuk pengetahuan, lokasi ini paling popular kerana jemaah akan pergi dengan teksi dan berniat di sana. Sekarang, jemaah akan dikenakan bayaran sebanyak 30 hingga 50 riyal bagi perkhidmatan sebuah teksi.
Ia bergantung pada rundingan jemaah dengan pemandu teksi. Jika jemaah boleh berbahasa Arab, gunalah bahasa Arab. Barangkali, jemaah akan mendapat diskaun lebih. Jika tidak tahu, gunalah bahasa Melayu.
Mereka sudah biasa kerana bertahun-tahun memandu teksi di Makkah. Mintalah diskaun dengan cara yang  baik. Insya-Allah, tuan puan akan mendapat harga yang berpatutan.
 Apabila kita sudah berniat umrah dan berihram, kita hendaklah menjaga pantang larang. Ia penting dijaga untuk memperoleh kesempurnaan ibadah umrah. Yang berikut ialah pantang larang umrah:
1)       Tidak boleh menutup kepala bagi lelaki.
2)     Tidak boleh memakai kain bersarung atau berjahit.
3)      Tidak boleh menutup muka bagi perempuan.
4)     Tidak boleh memakai sarung tangan.
5)     Tidak boleh memakai bau-bauan.
6)     Tidak boleh memakai minyak rambut.
7)     Tidak boleh menanggalkan rambut atau bulu dengan sengaja.
8)     Tidak boleh mencabut tumbuh-tumbuhan.
9)     Tidak boleh mengerat kuku.
10)  Tidak boleh memburu binatang.
11)    Tidak boleh bersetubuh.
12)   Tidak boleh melakukan pendahuluan persetubuhan.
13)   Tidak boleh bernikah atau menjadi saksi nikah.

Tempoh pantang larang ini bermula dari niat dan berakhir apabila kita bertahalul. Kebanyakan jemaah yang telah berniat, seboleh-bolehnya mereka mahu menyelesaikan umrah. Jika bertangguh, dikhuatiri akan terlanggar pantang larang umrah.


Oleh itu, sempurnakanlah rukun umrah dengan sebaik-baiknya dalam masa yang ada. Katakanlah jemaah sedang mengerjakan tawaf dan pada masa yang sama azan berkumandang, berhentilah untuk menunaikan solat fardu. Setelah memberi salam, sambunglah kembali ibadah tawaf tersebut.

Berminat untuk dapatkan buku umrah? WhatsApp 019 456 4225

Tuesday, 9 May 2017

7 Tip Umrah untuk memilih agensi


Kepada yang belum pernah mengerjakan umrah, saya kongsikan 7 tip untuk memudahkan perancangan. Mungkin boleh dijadikan panduan untuk bakal-bakal jemaah ke tanah suci.  

7 tip untuk memilih agensi umrah:

1.        Harga – Sudah semestinya jemaah yang hendak mengerjakan umrah akan memilih tawaran harga yang paling murah. Ingat, jangan terlalu murah sehingga timbul masalah semasa hendak berlepas. Walau bagaimanapun, lihat juga pakej yang ditawarkan dengan terperinci supaya harga yang ditawarkan berpatutan dengan pakej. Apa-apapun biarlah harga yang berpatutan.


2.      Jadual umrah & ziarah – Apabila kita hendak memilih syarikat umrah, pilihlah yang mempunyai jadual yang paling kita sukai. Contohnya, ada syarikat penerbangan yang menuju ke Madinah dahulu. Ada juga yang ke Makkah, kemudian  ke Madinah. Namun, ada juga yang transit ke negara lain, misalnya ke Turki, Bangladesh, Dubai dan sebagainya. Pilihlah jadual yang kita mahu.

3.       Jarak hotel ke masjid – Bagi sesetengah orang, mereka tidak kisah tentang jarak ini. Asalkan dapat pergi mengerjakan umrah. Berdasarkan pengalaman dan tinjauan saya,  lokasi hotel di Madinah ke Masjid Nabawi adalah dekat. Berbeza di Makkah, jarak hotel ke masjid yang jauh pun dalam lingkungan 600 meter hingga 800 meter. Sekiranya inginkan hotel yang dekat, bolehlah melihat pakej yang ditawarkan. Lagi dekat, lagi mahal!

4.      Bilangan hari – Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan visa umrah selama 30 hari. Jadi, kita boleh melihat tempoh beberapa hari di sana (Makkah dan  Madinah). Kita boleh memilih 10 hari, 12 hari, 14 hari dan sebagainya.

5.      Tarikh pergi dan pulang – Bagi orang yang bekerja, sudah tentu mereka akan mula merancang. Bilakah tarikh untuk mereka pergi dan pulang? Bagi penjawat awam , mereka perlu memohon kebenaran ke luar negara melalui jabatan masing-masing. Tarikh berkenaan sangat penting untuk mereka memohon cuti. Bagi yang bekerja sendiri atau sudah bersara, bolehlah pergi pada bila-bila masa.

6.      Jenis penerbangan –Kebanyakan orang tidak kisah tentang jenis penerbangan. Berdasarkan pengalaman saya, pilihlah syarikat penerbangan yang agak selesa. Alasannya, kita akan berada di dalam kapal terbang hampir 9 jam iaitu suatu tempoh yang agak lama. Jadi, keselesaan sangat penting semasa berada di dalam kapal terbang. Sebaliknya, jika anda memilih penerbangan tambang murah atau dikategorikan jimat (dalam pakej), ruang tempat duduknya agak kurang selesa. 

  

7.      Mutawif yang bagus – Sudah semestinya, bagi anda yang menempuhinya buat kali pertama amatlah memerlukan  seorang pembimbing (Group Leader) yang bagus. Bagi agensi ternama, mereka sudah pasti memiliki mutawif yang terlatih atau boleh bertutur dalam bahasa Arab. Atau paling tidak pun, mereka akan membimbing jemaah sepanjang mengerjakan umrah dan ziarah.


Friday, 21 April 2017

Mengapa saya menulis buku ‘Umrah Disember’

Apabila kita bercakap mengenai umrah, sudah pasti kita akan membayangkan Makkah.  Ia merupakan satu tempat yang jauh di tanah Arab. Makkah dan Madinah ialah satu tempat suci umat Islam di mana hati setiap muslim akan tertarik untuk ke sana. Dan, di sana adanya Baitullah sering kita idamkan.

            Apabila seseorang itu  berhasrat ke sana suci, dia hendaklah membuat persediaan ke arah itu. Jadi, dalam buku ‘Umrah Disember’ saya telah menyediakan solusi kepada mereka ke sana. Dengan membaca buku ini, seseorang itu akan mengetahui apakah perlu kita bawa. Apakah rukun umrah? Bagaimana melakukan umrah? Persoalan mengenai umrah akan terjawab apabila mereka membaca buku ini.
            Saya sendiri dalam keterujaan untuk untuk ke tanah suci pun merasa sesuatu. Jadi, dalam buku ini  saya telah kongsikan perasaan- yang mana mungkin sama dengan orang lain.

            Satu perkara menarik, barangkali mengenai perjalanan ke Gua Hira. Salah seorang penyemak buku ini iaitu Ustaz Saidi berkata, cadangan masa untuk mendaki ke Gua Hira yang saya cerita dalam buku tersebut sangat membantu untuk mereka ingin ke sana. Tambahnya lagi, beliau sendiri pun belum pernah ke sana. Dengan cerita saya tadi akan membantu mereka yang mahu ke Gua Hira.
           
        Antara sebab lain, saya fikir saya tidak syok sendiri kerana buku yang saya tulis ini mempunyai diteliti oleh 2 orang editor dan 3 orang penyemak. Ini sudah cukup kuat.
Akhir sekali, saya kira sebagai penyambung wasilah semasa saya tidak ada lagi. Inilah sumbangan dakwah saya terhadap Islam. Semoga bermanfaat!


Dapatkan hari ini dengan harga RM18. Hubungi 019 456 4225


Tuesday, 18 April 2017

Umrah Disember, buku panduan untuk menunaikan umrah



Alhamdulillah, Minggu ini merupakan minggu pertama buku ini terbit. Baik, apa kandungan dalam buku 'Umrah Disember' ini?

Baik, dalam buku ini, saya telah selitkan keperluan asas untuk menunaikan umrah misalnya kain ihram, tali pinggang, kasut, uncang kasut, gunting. Manakala bagi wanita pula, pakaian seperti biasa iaitu telekung, beg kecil dan sebagainya.

Selain membuat persediaan alatan, kita juga harus membuat persediaan ilmu. Itu yang paling penting. Misalnya, apa rukun umrah, doa apa hendak dibaca, bagaimana lafaz niat, di mana tempat berniat dan sebagainya.

Saya kira, 3 orang penyemak sudah cukup kuat mengesahkan apa yang saya cerita. Mudah-mudahan buku ini dapat memberi manfaat kepada umat Islam khususnya di Malaysia.

Terima kasih.

**********************************

Kepada yang ingin membeli buku ini, Harga RM18 sahaja;
boleh whatsApp Puan Putri Nurul Asyiqin di talian 019 579 0639.

Monday, 10 April 2017

Umrah Disember : catatan perjalanan menuju Baitullah




Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT kerana limpah dan kasih sayang. Selawat dan salam buat junjungan tercinta, Nabi Muhammad SAW dan keluarganya yang dimuliakan.

Begitu juga kepada para sahabat, alim ulama, buat tuan-tuan guru, ustaz-ustazah. Golongan yang beriman dan beramal soleh serta muslimin dan muslimat.

Dengan rendah hati, saya ingin menzahirkan kesyukuran kerana akhirnya buku ‘Umrah Disember’ ini telah siap sepenuhnya. Sebenarnya, tujuan saya menulis buku ini ialah untuk berkongsi pengalaman mengerjakan umrah. Apa yang saya alami, rasai itulah yang saya kongsikan. Harapan saya, apabila pembaca meneliti catatan ini, ia boleh dijadikan secebis panduan untuk mereka mengerjakan umrah kelak.

Ringkasnya dalam buku ini, saya telah muatkan catatan perjalanan dari Malaysia hingga ke tanah suci. Dalam buku ini terdapat persediaan yang perlu dilakukan, panduan ringkas, tip-tip berkaitan umrah dan sebagainya.


Mohon maaf jika ada kelemahan. Terima kasih kepada semua. Semoga catatan ini memberi manfaat untuk muslimin dan muslimat di mana jua kalian berada.

*******************************************************
Berikut saya kongsikan  ulasan dari penyemak

 
“Buku ini sangat bagus dan sesuai dijadikan rujukan bagi yang ingin menunaikan umrah khususnya bagi yang kali pertama ke Haramain. Penulis telah berkongsi ilmu dan tip dalam bentuk pengalaman dan ilmiah. Gaya penulisan yang santai dan mudah difahami. Anda harus milikinya...”
Imam Muda Megat
Musim ke-3

Alhamdulillah, setelah membaca manuskrip ini, saya dapati ia boleh dijadikan panduan kepada mereka belum pernah ke tanah suci. Bagi mereka yang pernah pergi, akan dapat mengimbau kembali saat-saat berada di sana...”

Ustaz Saidi
Pensyarah Kolej Matrikulasi Perak

“Buku ini disampaikan dalam bentuk cerita, ia sesuai dijadikan panduan kepada mereka yang berhasrat menunaikan umrah atau haji...”
Ustaz Shamsul Kamal
Pembimbing ibadat haji & umrah
Umrah Disember SM RM18 / SS RM20

Kepada tuan puan yang ingin mendapatkan buku ini bolehlah menghubungi Puan Putri Nurul Asyiqin di talian 019 579 0639

Tuesday, 14 March 2017

Tip umrah dengan orang tua-tua

Assalamualaikum warah matullah

Tuan puan yang dimuliakan,

Topik saya mahu kongsikan kali ini ialah berkaitan tip umrah dengan orang tua-tua. Mengerjakan umrah dengan pasangan (suami-isteri), sendiri sangat berbeza dengan mengerjakan umrah dengan orang tua-tua.

1. Apabila kita mahu mengerjakan umrah dengan orang tua-tua, kita perlu menjaga lebih beralah dalam segala hal. Tekmologi pada hari ini memang memudahkan kita. Namun, bagi orang tua-tua dari kampung, yang tambahan lagi tidak tahu membaca atau menulis adalah memerlukan kesabaran.

2. Kita sebagai orang yang masih cergas harus bersabar. Jika kita boleh berjalan laju- Apabila pergi dengan orang tua kita harus bersabar. Jalan perlahan-lahan. Biar mereka pergi dahulu. Kita jalan di belakang.

3. Di Lapangan kapal terbang misalnya, ada lokasi yang perlu pengetahuan. Misalnya di bahagain kastam atau pemeriksaaan tertentu. Beritahu mereka apa yang hendak dilakukan. Jangan kita menganggap orang tua-tua tahu urusan di lapangan terbang.

4. Demikian juga apabila tiba Madinah dan Makkah. Bimbingan orang tua. Kita jalan bersama-sama mereka. Laksanak umrah bersama-sama mereka. Misalnya sewaktu hendak melaksanakan ibadah tawaf. Kita hendaklah bersama-sama mereka dari awal sehingga selesai.

5. Semasa tawaf, penuhi setiap perkara wajib. Orang tua-tua mungkin tidak perasaaan apa yang hendak dilakukan. Bimbing mereka untuk melaksanakan ibadah tersebut. Pengalaman saya pergi dengan orang-orang mengajar saya lebih sabar, lebih memahami bahawa tidak mustahil kita juga akan melangkah ke alam tua. 



Thursday, 2 March 2017

Umrah secara pakej dan umrah sendiri, mana lebih baik?




Bismillahirahmanirahim

Bercakap mengenai umrah. Semua orang akan pergi ke Baitullah. Cepat atau lambat sahaja menjadi tanda tanya. Sebenarnya menunaikan umrah ini, ialah panggilan daripada Allah SWT. Apabila Allah SWT taala panggil hendaklah kita sahut panggilan itu.

1. Barangkali kita akan tertanya, bagaimana jika Allah SWT tidak memanggil. Beginilah Allah Maha Kaya, Kita sebagai hamba harus berdoa dan memohon kepadanya. Barulah Allah panggil.

2. Sama juga seperti rezeki, jika kita tidak berusaha manakan bisa rezeki datang bergolek. Demikianlah maksud saya. Baik, mengenai pergi secara pakej dan umrah secara sendiri mana lebih baik?

3. Pada pandangan saya, bagi mereka yang kali pertama mahu menunaikan umrah. Lebih baik pergi secara pakej. Semuanya telah dsiapkan misal pengangkutan, penginapan, makan, lawatan dan sebagainya.

4. Sebaliknya, jika pergi secara sendiri tuan puan perlu merancang semuanya dari A-Z. Lagipun, lokasi yang hendak pergi bukannya tahu sangat. Melainkan jemaah tersebut pernah pergi dengan pakej. Bolehlah dia pergi sendiri.

5. Nak pergi sendiri tidak payah pun. Hanya booking kapal terbang, booking hotel di Makkah & Madinah. Visa: Minta tolong dengan syarikat urus umrah. Caj dalam RM350-RM450. Makan, boleh beli di kedai makan berhampiran masjid. Mudah.

6. Kesimpulannya, apapun kembali kepada kemampuan diri sendiri. Jika seseorang itu boleh pergi sendiri, tiada jadi masalah. Teruskan sahaja niat tersebut. Jika tidak mampu atau tidak berapa yakin, lebih baik pergi dengan pakej. Biar bayar lebih sedikit, asalkan tidak sakit kepala.

CORONA VIRUS: SATU CATATAN KETIKA SYAWAL 1441

Sudah lama tidak menjenguk blog. Nampaknya sudah bersawang dan berhabuk. Ketika ini, di Malaysia masih lagi dengan Perintah Kawalan Bersyar...