Monday 22 May 2017

Keperluan Umrah

Di Malaysia, agensi umrah dengan pakej yang kita pilih akan memberi beg kepada setiap jemaah. Hal ini berdasarkan pengalaman saya. Jika ada jemaah yang tidak dapat, berkemungkinan beg tersebut tidak tersenarai dalam pakej. Para jemaah boleh bertanya sebelum mendaftar, sama ada  dapat atau tidak beg berkenaan. Jika tidak tersenarai dalam pakej, kita hendaklah membelinya sendiri.
Seterusnya, kita akan melihat keperluan umrah. Apakah keperluan asas yang hendak dibawa bersama? Selain menyiapkan keperluan ilmu, mental, fizikal dan sebagainya. Kita juga perlu menyediakan keperluan asas untuk mengerjakan umrah.
 Yang berikut saya kongsikan senarainya bagi memudahkan para jemaah untuk ke tanah suci.
Lelaki
Wanita
Kain Ihram
Telekung solat
Tali Pinggang
Jubah / maksi
Jubah
Kasut & stoking
Selipar
Seluar panjang
Kasut & stoking
Pakaian tidur
Uncang kasut
Beg
Pakaian tidur
Uncang kasut
Pakaian ziarah
Pakaian ziarah

 Demikianlah keperluan asas untuk pergi mengerjakan umrah. Selain keperluan asas yang dinyatakan itu, terdapat juga keperluan lain seperti charger telefon, penyangkut baju dan  sabun.
Ia terpulang pada jemaah. Aktiviti membasuh sangat mudah kerana pakaian kita tidak terkena kotoran. Hanya untuk menghilangkan bau peluh. Jadi, kita boleh membasuh dengan tangan serta menggantung sementara di dalam bilik air. Kemudian, alihkan ke bilik tidur. Jika tidak mahu membawa sabun, boleh dihantar ke dobi.
Selain itu, bawalah buku doa atau buku-buku yang berkaitan. Ia boleh dijadikan rujukan apabila ada masalah-masalah yang timbul. Tidak dinafikan, Ubat-ubatan sendiri dari Malaysia juga amat penting untuk dibawa walaupun di tanah suci pun terdapat farmasi. Barangkali, ubat demam, ubat selesema, ubat gatal menjadi keperluan di sana.
Keperluan lain seperti gunting, perlulah dibawa untuk kita bertahalul. Gunting tersebut hendaklah dimasukkan di dalam beg bagasi kerana dilarang membawanya ke bahagian tempat duduk penumpang. Bagi orang lelaki, bawalah juga pisau cukur. Bagi yang kepala botak, tidak boleh mengguntingnya. Jadi, sesetangah pendapat menyebut, memadai melalukan pisau di atas kepala sebagai syarat bertahalul.
Bagi orang perempuan pula, memadai membawa gunting. Mereka tidak perlu membotakkan kepala, hanya menggunting 2 hingga 3 helai sebagai syarat bertahalul.
Sekiranya rajin, belilah  penyembur (spray) wuduk dari Malaysia. Ia sangat berguna apabila sedang mengerjakan umrah. Sekiranya jemaah terbatal wuduk apabila  sedang mengerjakan umrah, bolehlah menyembur terus dengan penyembur (spray) sahaja. Waktu lain, kita boleh ke tempat wuduk. Jika tidak ada pun tidak mengapa kerana  ia untuk memudahkan sahaja.
Bagi mereka yang tidak biasa berjalan jauh (berjalan kaki), disarankan agar membawa minyak angin atau minyak urut. Dibimbangi urat kaki menjadi  tegang kerana kali pertama mengerjakan umrah. Sepanjang pemerhatian saya, terdapat beberapa jemaah kita akan terasa lenguh pada kaki. Jadi, minyak angin atau minyak urut sangat bagus dibawa. Kita hanya menyapunya sebelum tidur dan tidak perlulah mengurutnya. Jika tersilap urut, dibimbangi nanti menghidapi demam urat! Sapu sahaja sudah mencukupi.
  Soket elektrik antarabangsa pun penting. Di Arab Saudi, soket elektrik tidak sama dengan soket di Malaysia. Jadi, dinasihatkan supaya membawanya. Lebih elok jika membawa wayar penyambung sekali. Sekiranya pergi dengan pakej bertiga atau berempat, bolehlah menggunakannya bersama-sama jemaah lain. Kita senang, mereka pun senang!

Friday 19 May 2017

Suasana di Madinah dan Masjid Nabawi, ini kisahnya.

Suasana di Madinah tidak sama dengan suasana di Makkah. Sekarang, Madinah merupakan bandar yang indah, tenang dan harmoni.
Di sanalah terletaknya Masjid Nabawi dan Makam Rasulullah SAW. Sebenarnya makam Rasulullah terletak di dalam masjid Nabawi.

Bagi mereka yang kali pertama pergi ke Madinah pastinya akan menuju ke makam Rasulullah SAW.
Sebelum kita berbicara lebih lanjut mengenai masjid dan makam, saya ingin mengambarkan suasana di Madinah terlebih dahulu.

“Shalat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih baik dari 1000 shalat di masjid lainnya selain Masjidil Harom.” (HR. Bukhari no. 1190 dan Muslim no. 1394, dari Abu Hurairah)

Sumber : https://rumaysho.com/5818-keutamaan-shalat-di-masjid-nabawi.html

Lapangan kapal terbang Madinah berada tidak jauh dari Masjid Nabawi. Jika tuan-tuan sampai sahaja di airport, tuan-tuan hanya akan mengambil masa kurang 30 minit untuk ke hotel penginapan. Sekiranya melalui agensi, tuan-tuan akan bergerak dengan bas. Sebaliknya jika pergerakan tuan-tuan dari Makkah, ia akan mengambil masa 6-7 jam (termasuk berhenti rehat dan sebagainya).

Hotel-hotel di sekitar masjid Nabawi, dekat. Ia hanya tidak lebihr 500 meter. Itupun yang paling jauh. Kita hanya berjalan kaki sahaja ke masjid. Hotel- hotel mewah berada di hadapan pintu masjid. Manakala, yang agak sederhana berada di sedikit belakang.

Kali kedua pergi umrah, saya menginap di sebuah hotel berhampiran dengan pasar tamar. Jadi, jika hendak membeli kurma, hanya perlu melintas jalan sahaja. Dekat.

Di Madinah, boleh dikatakan harga barangan di sana agak murah berbanding Makkah. Ini apa yang saya lihatlah. Walau bagaimanapun, jika tuan-tuan bijak untuk tawar menawar dengan penjual. Maka tuan puan akan dapat harga yang berpatutan.

Baik, sebenarnya sepanjang perjalanan; ke masjid  ada kedai-kedai yang menarik perhatian jemaah. Jadi, para jemaah harus fokus untuk menunaikan ibadah. Tunaikan dahulu amal ibadah di masjid. Apabila sudah selesai ziarah makam Rasulullah. Barulah tuan-tuan membeli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang.

Pada bulan Disember, iklim di Madinah agak sejuk terutamanya pada waktu pagi. Pada waktu tengah hari dan petang agak dingin. Dan kembali sejuk pada waktu malam. Apabila berada dalam keadaan sejuk, maka kita akan lebih selesa untuk beribadah.

Di sekeliling masjid ada hotel-hotel yang canggih-canggih. Dan apabila masuk sahaja ke Masjid Nabawi, kita akan rasa tenteram. Terdapat banyak pintu, sudut-sudut, ukiran-ukiran khat yang cantik-cantik di sana. Subhanallah

Di sana, tuan-tuan akan dapat melihat pelbagai bangsa manusia. Allahu Akbar!

Ini gambar semasa berada di Madinah.





Bersama-sama Presiden Mabopa

Berminat mahu tahu cerita ini lebih lanjut? Dapatkan buku Umrah Disember di sini

https://bookcafe.com.my/en/buku/agama/umrah-disember.html


Selepas solat Duha

Friday 12 May 2017

Penting menuntut ilmu sebelum umrah

Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim. Demikianlah mafhum hadis nabi. Walaupun saya pernah mengerjakan umrah, saya juga harus pergi berkursus supaya ilmu tersebut dapat dicerap kali kedua. Barangkali, ada perkara baharu yang hendak disampaikan atau sebagai ulang ingat apa-apa yang telah dipelajari.



Agensi yang saya pilih telah memberi jadual kursus. Sebaliknya, saya tidak dapat menghadiri kursus di Alor Setar atas kekangan masa memandangkan saya bermastautin di Ipoh. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menumpang menghadiri kursus di sebuah agensi umrah di Ipoh.
Kebetulan pula, pejabat agensi tersebut tidak jauh dari rumah saya. Jadi, bolehlah saya menunggang motosikal sahaja untuk ke tempat kursus.
Alhamdulillah. Segala yang dirancang dan perancangan Allah SWT untuk saya berjalan seperti yang diusahakan. Saya telah menghadiri kursus sebanyak dua kali. Selebihnya, saya membuat rujukan kitab-kitab terdahulu dan membaca kembali catatan umrah dahulu.
Hal ini penting supaya kita pergi dengan ilmu dan bukannya sekadar ikut-ikutan. Apabila kita pergi dengan ilmu, maka ibadah kita akan lebih sempurna.
Selanjutnya, apabila kita sudah memasang niat, daftarlah. Kemudian, hadirlah  kursus umrah supaya kita tahu perkara  yang hendak dilakukan sebelum, semasa dan selepas umrah.  Semasa kursus itu, kita akan tahu segala keperluan yang perlu dibawa. Doa yang perlu dibaca dan sebagainya. Secara asasnya, umrah ialah ibadah berniat mengunjungi Baitullahil-Haram untuk mengerjakan tawaf, sai dan bertahalul. Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Rukun umrah :
1.        Niat
2.      Tawaf
3.       Sai
4.      Tahalul
5.      Tertib

Baiklah,  niat pula terdapat beberapa lokasi niat umrah. Antaranya ialah Bir Ali, Ja’ranah, Hudaibiah, Tana’im dan sebagainya. Sekiranya jemaah dari Madinah, maka niatnya di Masjid Bir Ali. Di sanalah kebanyakan orang akan berniat. Selepas niat, tunailah solat sunat ihram.
Sekiranya jemaah dari KLIA ke Makkah, maka niatnya di suatu miqat (sempadan) yang akan dimaklumkan oleh krew penerbangan atau mutawif, sejam sebelum mendarat. Niat umrah berbeza dengan niat ibadah yang lain-lain. Niat umrah mestilah pada lokasinya iaitu miqat. Biasanya dalam pakej umrah, jemaah akan dibawa ke Ja’ranah dan Hudaibiah. Oleh itu, gunakan kesempatan untuk berniat mengerjakan umrah di sana.
Seterusnya, lokasi miqat yang paling dekat dengan Makkah ialah Tana’im. Untuk pengetahuan, lokasi ini paling popular kerana jemaah akan pergi dengan teksi dan berniat di sana. Sekarang, jemaah akan dikenakan bayaran sebanyak 30 hingga 50 riyal bagi perkhidmatan sebuah teksi.
Ia bergantung pada rundingan jemaah dengan pemandu teksi. Jika jemaah boleh berbahasa Arab, gunalah bahasa Arab. Barangkali, jemaah akan mendapat diskaun lebih. Jika tidak tahu, gunalah bahasa Melayu.
Mereka sudah biasa kerana bertahun-tahun memandu teksi di Makkah. Mintalah diskaun dengan cara yang  baik. Insya-Allah, tuan puan akan mendapat harga yang berpatutan.
 Apabila kita sudah berniat umrah dan berihram, kita hendaklah menjaga pantang larang. Ia penting dijaga untuk memperoleh kesempurnaan ibadah umrah. Yang berikut ialah pantang larang umrah:
1)       Tidak boleh menutup kepala bagi lelaki.
2)     Tidak boleh memakai kain bersarung atau berjahit.
3)      Tidak boleh menutup muka bagi perempuan.
4)     Tidak boleh memakai sarung tangan.
5)     Tidak boleh memakai bau-bauan.
6)     Tidak boleh memakai minyak rambut.
7)     Tidak boleh menanggalkan rambut atau bulu dengan sengaja.
8)     Tidak boleh mencabut tumbuh-tumbuhan.
9)     Tidak boleh mengerat kuku.
10)  Tidak boleh memburu binatang.
11)    Tidak boleh bersetubuh.
12)   Tidak boleh melakukan pendahuluan persetubuhan.
13)   Tidak boleh bernikah atau menjadi saksi nikah.

Tempoh pantang larang ini bermula dari niat dan berakhir apabila kita bertahalul. Kebanyakan jemaah yang telah berniat, seboleh-bolehnya mereka mahu menyelesaikan umrah. Jika bertangguh, dikhuatiri akan terlanggar pantang larang umrah.


Oleh itu, sempurnakanlah rukun umrah dengan sebaik-baiknya dalam masa yang ada. Katakanlah jemaah sedang mengerjakan tawaf dan pada masa yang sama azan berkumandang, berhentilah untuk menunaikan solat fardu. Setelah memberi salam, sambunglah kembali ibadah tawaf tersebut.

Berminat untuk dapatkan buku umrah? WhatsApp 019 456 4225

Tuesday 9 May 2017

7 Tip Umrah untuk memilih agensi


Kepada yang belum pernah mengerjakan umrah, saya kongsikan 7 tip untuk memudahkan perancangan. Mungkin boleh dijadikan panduan untuk bakal-bakal jemaah ke tanah suci.  

7 tip untuk memilih agensi umrah:

1.        Harga – Sudah semestinya jemaah yang hendak mengerjakan umrah akan memilih tawaran harga yang paling murah. Ingat, jangan terlalu murah sehingga timbul masalah semasa hendak berlepas. Walau bagaimanapun, lihat juga pakej yang ditawarkan dengan terperinci supaya harga yang ditawarkan berpatutan dengan pakej. Apa-apapun biarlah harga yang berpatutan.


2.      Jadual umrah & ziarah – Apabila kita hendak memilih syarikat umrah, pilihlah yang mempunyai jadual yang paling kita sukai. Contohnya, ada syarikat penerbangan yang menuju ke Madinah dahulu. Ada juga yang ke Makkah, kemudian  ke Madinah. Namun, ada juga yang transit ke negara lain, misalnya ke Turki, Bangladesh, Dubai dan sebagainya. Pilihlah jadual yang kita mahu.

3.       Jarak hotel ke masjid – Bagi sesetengah orang, mereka tidak kisah tentang jarak ini. Asalkan dapat pergi mengerjakan umrah. Berdasarkan pengalaman dan tinjauan saya,  lokasi hotel di Madinah ke Masjid Nabawi adalah dekat. Berbeza di Makkah, jarak hotel ke masjid yang jauh pun dalam lingkungan 600 meter hingga 800 meter. Sekiranya inginkan hotel yang dekat, bolehlah melihat pakej yang ditawarkan. Lagi dekat, lagi mahal!

4.      Bilangan hari – Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan visa umrah selama 30 hari. Jadi, kita boleh melihat tempoh beberapa hari di sana (Makkah dan  Madinah). Kita boleh memilih 10 hari, 12 hari, 14 hari dan sebagainya.

5.      Tarikh pergi dan pulang – Bagi orang yang bekerja, sudah tentu mereka akan mula merancang. Bilakah tarikh untuk mereka pergi dan pulang? Bagi penjawat awam , mereka perlu memohon kebenaran ke luar negara melalui jabatan masing-masing. Tarikh berkenaan sangat penting untuk mereka memohon cuti. Bagi yang bekerja sendiri atau sudah bersara, bolehlah pergi pada bila-bila masa.

6.      Jenis penerbangan –Kebanyakan orang tidak kisah tentang jenis penerbangan. Berdasarkan pengalaman saya, pilihlah syarikat penerbangan yang agak selesa. Alasannya, kita akan berada di dalam kapal terbang hampir 9 jam iaitu suatu tempoh yang agak lama. Jadi, keselesaan sangat penting semasa berada di dalam kapal terbang. Sebaliknya, jika anda memilih penerbangan tambang murah atau dikategorikan jimat (dalam pakej), ruang tempat duduknya agak kurang selesa. 

  

7.      Mutawif yang bagus – Sudah semestinya, bagi anda yang menempuhinya buat kali pertama amatlah memerlukan  seorang pembimbing (Group Leader) yang bagus. Bagi agensi ternama, mereka sudah pasti memiliki mutawif yang terlatih atau boleh bertutur dalam bahasa Arab. Atau paling tidak pun, mereka akan membimbing jemaah sepanjang mengerjakan umrah dan ziarah.


CORONA VIRUS: SATU CATATAN KETIKA SYAWAL 1441

Sudah lama tidak menjenguk blog. Nampaknya sudah bersawang dan berhabuk. Ketika ini, di Malaysia masih lagi dengan Perintah Kawalan Bersyar...