Satu pengalaman
yang tidak boleh dilupakan semasa mengerjakan umrah kali ini ialah mendaki Gua Hira. Allahu Akbar! Sebenarnya Gua Hira
terletak tidak jauh dari Masjid al-Haram. Seingat saya lebih kurang 2 hingga 3
batu sahaja. Ia terletak di atas Jabal Nur. Kita semua tahu bahawa Gua Hira
merupakan tempat Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama.
Kebetulan hari
itu, agensi umrah menawarkan jemaah untuk pergi ke Gua Hira. Sememangnya
mendaki Gua Hira tidak tersenarai dalam pakej. Kami berbincang dengan pihak
agensi untuk pergi, dan mereka membantu kami dengan mengenakan bayaran sebanyak
20 riyal.
Harga yang berbaloi. Tanpa berfikir panjang, saya
terus bersetuju. Jika melalui agen lain, harganya agak berbeza. Baiklah, ahli
keluarga saya yang lain tidak pergi kecuali adik saya. Kami berdua menyertai 38 orang jemaah ke sana dengan menaiki
teksi dari hotel selepas solat asar dan sangat teruja.
Apatah lagi, kami
yang tidak pernah pergi ke sana. Teruja untuk menelusuri pengorbanan dan susah
payah Rasulullah SAW berulang alik dari rumahnya ke Gua Hira.
Kira-kira 15
minit dari hotel, kami tiba di kaki Jabal Nur yang indah bagaikan menggamit
kehadiran kami. Dalam pada itu, kelihatan di kaki deretan bukit terdapat banyak
rumah penduduk di sana. Sesekali teringin tebal muka untuk menikmati nasi Arab
di sana. Namun, apakan daya, kami hanya orang jauh.
Di bawahnya terdapat kedai cenderahati. Bagi
sesiapa yang hendak membeli bolehlah membeli. Kami hanya fokus untuk hendak
mendaki Gua Hira. Apabila melihat dari
jauh, memang kelihatan biasa. Apabila semakin hampir, rupa-rupanya tinggi.
Namun, tidaklah
setinggi Gunung Jerai. Ia ialah bukit tanpa tumbuhan. Pandangan dari bawah,
kita melihat objek putih-putih iaitu orang berjalan di lereng-lereng bukit yang
gersang. Tiada sebarang tumbuh - tumbuhan. Yang ada hanyalah batu-batu yang
sentiasa berzikir kepada Allah SWT.
Mutawif sudah memaklumkan
bahawa masa untuk mendaki sekitar sejam.
Ertinya, kami dijangka akan sampai sebelum maghrib. Mula-mula, sewaktu mendaki
bukit sememangnya lancar. Sampai sahaja separuh bukit, ia memang menguji
fizikal dan mental.
Sungguh letih! Kalau
ikutkan rasa hati yang badannya letih, mahu sahaja berhenti di pertengahan. Walaupun
rasa letih, fikiran dan azam saya masih lagi kuat. Saya mahu mendaki hingga
sampai di tempat Rasulullah SAW beruzlah. Saya mahu melihat sendiri dan melalui
sendiri kepayahan Rasulullah mendaki Gua
Hira.
Sewaktu
naik dan sambil melihat ke bawah terasa
semakin tinggi ke udara. Terasa kebesaran Allah SWT. Kita akan nampak rumah-rumah
di sekeliling Jabal Nur. Pada masa pendakian itu, saya melihat pekerja yang sedang
membuat anak tangga. Mereka membuat anak tangga dengan simen. Sangat rajin
seperti semut.
Sedar
tidak sedar, betullah kata mutawaif bahawa kami sudah sampai di puncak lebih
kurang sejam. Waktu itu orang tidak banyak. Jemaah dari Indonesia sahaja yang
kelihatan sekitar 8 hingga 10 orang. Mereka masuk sekejap untuk menunaikan
solat sunat, kemudian keluar. Rupa- rupanya, Gua Hira hanya boleh dimasuki dua
orang.
Alhamdulillah, azan
dari Masjid al-Haram dan dari masjid sekitar berkumandang ke udara menandakan
waktu maghrib telah tiba. Pada masa yang
sama, seorang dari jemaah mengalunkan azan di Jabal Nur itu. Azan yang
berkumandang ke udara menyebabkan kami terdiam seketika
sebagai tanda hormat. Kami melihat sahaja keindahan lampu-lampu yang berkelipan.
Lampu di mercu tanda Masjid al-Haram sudah bertukar menjadi warna hijau.
Subhanallah.
Mereka yang
berhajat untuk ke Gua Hira, saya cadangkan supaya mendaki selepas asar dan
menuruninya selepas isyak. Saya kira waktu itu ialah waktu yang sesuai. Ada yang
mahu memasukinya hingga tempat
Rasulullah SAW duduk beribadah. Sebenarnya, betul-betul di belakang dengan Gua
Hira itu ada sebuah lubang yang membolehkan
kita melihat terus Kaabah. Allahu Akbar!
No comments:
Post a Comment