Friday 30 September 2016

Hadapi stres di tempat kerja dengan positif

Stres di tempat kerja adalah perkara lazim yang kita dengar. Sebenarnya apakah yang dikatakan stres? Kenapa ia terjadi? Bagaimana ia terjadi? Apakah kesan-kesan stres? Semuanya akan kita bincangkan bersama. Stres dengan kata lain ialah tekanan. Iaitulah tekanan yang akan menyebabkan perubahan kepada pemikiran, perasaan, tingkah laku dan fizikal kita. Dan perubahan itu akan memberi kesan tertentu. Umumnya, semua orang akan merasai tekanan.  Jadi sebagai manusia, kita harus redha apabila berhadapan beberapa jenis tekanan.  Selain itu, kita juga perlu tahu apakah tekanan itu akan memberi kesan negatif atau sebaliknya. Dalam hal ini kita perlu betulkan persepsi bahawa stres atau tekanan sebenarnya mempunyai dua bentuk iaitu negatif dan positif.
Apakah stres negatif? Stres bentuk ini akan memberi kesan tidak baik kepada kerja kita. Misalnya sakit berpanjangan, barah, masalah rumah tangga, dan sebagainya. Stres yang berkaitan perkara negatif ini jika tidak ditangani ia akan memberi kesan kepada psikologi seseorang. Manakala stres yang positif ialah kerja yang banyak, jadual kerja yang ketat, arahan atas, kerja segera dan seumpamanya. Hal ini walaupun kita rasa sebagai stres tetapi ia adalah baik terhadap kita. Setiap perkara tersebut akan memberi kesan yang baik terhadap kerja kita. Malah jika diteliti, ia akan memberikan implikasi yang positif kepada prospek kerjaya kita.
Ada pun di tempat kerja sebagai contoh kita akan merasa tertekan apabila berhadapan dengan kerja yang bertimpa-timpa. Barangkali kita tertekan dengan arahan kerja yang terlalu banyak. Atau mungkin kita tertekan dengan konflik baharu. Bagi sesetengah individu, mereka tertekan kerana faktor diri sendiri dan luar. Stres harus diurus dengan baik. Sekiranya tidak diuruskan dengan sempurna, ia akan memberi kesan kepada diri. Sekiranya kita berjaya menguruskan stres dengan sempurna sudah tentu kita akan berpuas dengan kerja yang dilakukan.
Sekiranya kita tidak pandai urus stres ia akan boleh menyebabkan kesan tidak baik misalnya seseorang itu lupa, sakit kepala, marah-marah tidak mahu bercakap dan sebagainya. Barangkali ia terjadi terlalu berfikir. Hal ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Sekiranya perkara ini berlaku secara berterusan ia akan memberi impak kurang enak terhadap kualiti kerja. Kesan terhadap fikiran ialah kita tidak mampu berfikir dengan baik. Kadang kala terlupa dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu mempunyai ilmu berkaitan stres ini agar dapat kita menguruskannya dengan baik.
Selain memberi kesan terhadap fikiran dan perasaan, ia juga akan memberi kesan terhadap fizikal. Berdasarkan kes, stres boleh menyebabkan seseorang gemuruh, pelupa, sakit darah tinggi, sakit belakang, demam dan kadang-kadang ia boleh menyebabkan demam. Ada juga yang boleh lumpuh dengan stress. Jadi sebagai langkah pencegahan kita perlu sedar apakah tahap stres yang kita hadapi. Ertinya kita harus uruskan peringkat stres dengan sebaik mungkin.
Dari sudut emosi pula, stres akan menyebabkan individu itu mudah marah. Situasi ini marah ini boleh biasanya akan menjejaskan kualiti kerja dalam sesebuah organiasasi. Selain daripada marah, stres boleh menyebabkan seseorang itu hilang keyakinan, kebimbangan, resah dan sebagainya. Kebiasaan wanita lebih senang menunjukkan atau meluahkan apabila mereka stres berbanding golongan lelaki. Biasanya lelaki akan sedaya upaya untuk bertindak rasional apabila berhadapan dengan tekanan.
Selain daripada faktor-faktor yang dinyatakan itu, stres juga akan memberi kesan terhadap pemikiran seseorang. Jika tidak dapat dikawal stres, seseorang itu akan barangkali tidak dapat berfikir dengan rasional. Tekanan yang kuat akan menyebabkan pemikirannya terganggu. Biasanya seseorang itu berkemungkinan sukar berfikir dengan baik. Selain itu, jika didapati seseorang itu sering terlupa barangkali juga berpunca daripada stres.
Pentingnya di sini ialah setiap individu perlu tahu ilmu berkaitan stres. Bak kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada merawat’. Hal ini bagi mengelak daripada perkara-perkara yang tidak diingini. Oleh itu, terdapat pelbagai cara untuk menangani stres. Cara yang paling mudah di tempat kerja ialah dengan memejamkan mata dan  menarik nafas. Apabila kita menarik nafas, secara tidak langsung oksigen akan masuk dengan seimbang ke otak. Jadi hal ini akan meredakan sedikit tekanan. Di samping itu, kita juga boleh menggerakkan jari-jari kaki supaya darah dapat berjalan dengan lancar.
Bekerja 8 hingga 5 petang akan menyebabkan anda letih, oleh itu tiba masa rehat pada jam 1 hingga 2. Gunakan ruang waktu itu untuk makan dan berehat. Kadang kala apabila pulang ke rumah kita sudah letih . Jadi, dinasihatkan supaya anda luangkan masa setelah pulang untuk lakukan aktiviti ringan di rumah. Selain itu, di hujung minggu anda juga boleh beriadah bersama keluarga. Aktiviti ini pasti akan menyebabkan anda kembali segar.

Tidak dinafikan aktiviti bersama pasangan atau berbual-bual sambil bergelak ketawa juga boleh  mengurangkan sedikit tekanan yang anda hadapi. Selain itu, anda juga dinasihatkan supaya meluahkan permasalahan anda kepada keluarga atau sahabat baik anda. Hal ini secara tidak langsung akan mengurangkan tekanan dan sekaligus akan memberikan kelegaan kepada anda. Sekiranya anda menghadapi sesuatu tekanan yang kuat. Anda dicadangkan supaya bertemu  kaunselor bagi membantu anda daripada aspek psikologi dan kaunseling. Mereka mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam permasalahan yang dihadapi.         

CORONA VIRUS: SATU CATATAN KETIKA SYAWAL 1441

Sudah lama tidak menjenguk blog. Nampaknya sudah bersawang dan berhabuk. Ketika ini, di Malaysia masih lagi dengan Perintah Kawalan Bersyar...