Friday, 12 May 2017

Penting menuntut ilmu sebelum umrah

Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim. Demikianlah mafhum hadis nabi. Walaupun saya pernah mengerjakan umrah, saya juga harus pergi berkursus supaya ilmu tersebut dapat dicerap kali kedua. Barangkali, ada perkara baharu yang hendak disampaikan atau sebagai ulang ingat apa-apa yang telah dipelajari.



Agensi yang saya pilih telah memberi jadual kursus. Sebaliknya, saya tidak dapat menghadiri kursus di Alor Setar atas kekangan masa memandangkan saya bermastautin di Ipoh. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menumpang menghadiri kursus di sebuah agensi umrah di Ipoh.
Kebetulan pula, pejabat agensi tersebut tidak jauh dari rumah saya. Jadi, bolehlah saya menunggang motosikal sahaja untuk ke tempat kursus.
Alhamdulillah. Segala yang dirancang dan perancangan Allah SWT untuk saya berjalan seperti yang diusahakan. Saya telah menghadiri kursus sebanyak dua kali. Selebihnya, saya membuat rujukan kitab-kitab terdahulu dan membaca kembali catatan umrah dahulu.
Hal ini penting supaya kita pergi dengan ilmu dan bukannya sekadar ikut-ikutan. Apabila kita pergi dengan ilmu, maka ibadah kita akan lebih sempurna.
Selanjutnya, apabila kita sudah memasang niat, daftarlah. Kemudian, hadirlah  kursus umrah supaya kita tahu perkara  yang hendak dilakukan sebelum, semasa dan selepas umrah.  Semasa kursus itu, kita akan tahu segala keperluan yang perlu dibawa. Doa yang perlu dibaca dan sebagainya. Secara asasnya, umrah ialah ibadah berniat mengunjungi Baitullahil-Haram untuk mengerjakan tawaf, sai dan bertahalul. Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Rukun umrah :
1.        Niat
2.      Tawaf
3.       Sai
4.      Tahalul
5.      Tertib

Baiklah,  niat pula terdapat beberapa lokasi niat umrah. Antaranya ialah Bir Ali, Ja’ranah, Hudaibiah, Tana’im dan sebagainya. Sekiranya jemaah dari Madinah, maka niatnya di Masjid Bir Ali. Di sanalah kebanyakan orang akan berniat. Selepas niat, tunailah solat sunat ihram.
Sekiranya jemaah dari KLIA ke Makkah, maka niatnya di suatu miqat (sempadan) yang akan dimaklumkan oleh krew penerbangan atau mutawif, sejam sebelum mendarat. Niat umrah berbeza dengan niat ibadah yang lain-lain. Niat umrah mestilah pada lokasinya iaitu miqat. Biasanya dalam pakej umrah, jemaah akan dibawa ke Ja’ranah dan Hudaibiah. Oleh itu, gunakan kesempatan untuk berniat mengerjakan umrah di sana.
Seterusnya, lokasi miqat yang paling dekat dengan Makkah ialah Tana’im. Untuk pengetahuan, lokasi ini paling popular kerana jemaah akan pergi dengan teksi dan berniat di sana. Sekarang, jemaah akan dikenakan bayaran sebanyak 30 hingga 50 riyal bagi perkhidmatan sebuah teksi.
Ia bergantung pada rundingan jemaah dengan pemandu teksi. Jika jemaah boleh berbahasa Arab, gunalah bahasa Arab. Barangkali, jemaah akan mendapat diskaun lebih. Jika tidak tahu, gunalah bahasa Melayu.
Mereka sudah biasa kerana bertahun-tahun memandu teksi di Makkah. Mintalah diskaun dengan cara yang  baik. Insya-Allah, tuan puan akan mendapat harga yang berpatutan.
 Apabila kita sudah berniat umrah dan berihram, kita hendaklah menjaga pantang larang. Ia penting dijaga untuk memperoleh kesempurnaan ibadah umrah. Yang berikut ialah pantang larang umrah:
1)       Tidak boleh menutup kepala bagi lelaki.
2)     Tidak boleh memakai kain bersarung atau berjahit.
3)      Tidak boleh menutup muka bagi perempuan.
4)     Tidak boleh memakai sarung tangan.
5)     Tidak boleh memakai bau-bauan.
6)     Tidak boleh memakai minyak rambut.
7)     Tidak boleh menanggalkan rambut atau bulu dengan sengaja.
8)     Tidak boleh mencabut tumbuh-tumbuhan.
9)     Tidak boleh mengerat kuku.
10)  Tidak boleh memburu binatang.
11)    Tidak boleh bersetubuh.
12)   Tidak boleh melakukan pendahuluan persetubuhan.
13)   Tidak boleh bernikah atau menjadi saksi nikah.

Tempoh pantang larang ini bermula dari niat dan berakhir apabila kita bertahalul. Kebanyakan jemaah yang telah berniat, seboleh-bolehnya mereka mahu menyelesaikan umrah. Jika bertangguh, dikhuatiri akan terlanggar pantang larang umrah.


Oleh itu, sempurnakanlah rukun umrah dengan sebaik-baiknya dalam masa yang ada. Katakanlah jemaah sedang mengerjakan tawaf dan pada masa yang sama azan berkumandang, berhentilah untuk menunaikan solat fardu. Setelah memberi salam, sambunglah kembali ibadah tawaf tersebut.

Berminat untuk dapatkan buku umrah? WhatsApp 019 456 4225

No comments:

CORONA VIRUS: SATU CATATAN KETIKA SYAWAL 1441

Sudah lama tidak menjenguk blog. Nampaknya sudah bersawang dan berhabuk. Ketika ini, di Malaysia masih lagi dengan Perintah Kawalan Bersyar...