Menjelangnya musim
peperiksaan pelajar-pelajar akan berusaha sedaya upaya untuk melakukan yang
terbaik di dalam peperiksaan. Peperiksaan amat penting bagi mengukur sejauh
mana seseorang pelajar itu mampu mengingati apa yang dipelajari dan
mengeluarkan kembali memori di atas kertas jawapan. Peperiksaan juga medan
untuk mengukur tahap pemikiran seseorang sama ada rendah, sederhana dan tinggi.
Bagi segelintir pelajar peperiksaan sudah menjadi ‘trauma’ kerana peristiwa
kegagalan masa lalu. Manakala terdapat ramai pelajar amat menanti peperiksaan
kerana mereka ingin melihat hasil titik peluh mereka selama ini. Apa pun
harapan dan hasrat mereka, setiap individu yang bergelar pelajar harus
melaluinya dengan sabar.
Pelajar yang akan menduduki peperiksaan sewajarnya
membuat persediaan yang terancang dan awal. Persediaan peperiksaan meliputi
jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Ini sangat penting kepada semua
pelajar. Sekiranya kita melihat kepada aspek jasmani, sudah tentu tahap kesihatan kecergasan wajar di titik
berat. Bak kata pepatah badan cergas minda cerdas. Kismis, kurma atau susu
misal sangat membantu dalam proses
pembelajaran. Inilah yang di amalkan oleh mereka yang sudah berjaya. Namun
begitu sekiranya kita melihat dari sudut emosi pula ia sangat penting sebelum
tiba hari peperiksaan. Emosi yang tidak stabil sebenarnya boleh mengganggu
fokus seseorang. Jadi seseorang yang akan menghadapi peperiksaan sebaiknya
tidak wajar diganggu menjelang peperiksaan hingga tamat. Mereka wajar diberi
ruang untuk bersama dengan buku-buku dan nota mereka. Ada kala mereka perlukan masa untuk menghafal,
mengingat dan membuat nota ringkas sebelum hari peperiksaan.
Selain daripada itu, aspek
kerohanian juga harus ditekankan. Bagi mereka yang beragama Islam, mendirikan
tahajud, berdoa, membaca surah tertentu dan juga memohon doa kejayaan dengan
hati bersungguh wajar diamalkan menjelang peperiksaan. Hal ini kerana setiap
mereka yang beragama Islam perlu memohon doa kepada Allah SWT selain daripada
usaha yang telah di laksanakan. Doa yang dipohon hendaklah seiring dengan usaha
yang dilakukan. Setiap doa yang dipohon mudah-mudahan akan memberi ketenangan
dan kelancaran semasa peperiksaan. Tidak
dinafikan persediaan intelektual juga penting . Apa yang harus pelajar lakukan
ialah membuat latih tubi, mengulang kaji dan sebaiknya membuat peta minda bagi
setiap mata pelajaran . Peta minda boleh
membantu pelajar mengingati kembali apa
yang dipelajari. Ini kerana otak kanan akan memaparkan visual apa yang
dilakarkan pada peta berkenaan semasa di dalam dewan peperiksaan.
Persediaan pada hari
peperiksaan juga amat penting. Calon peperiksaan sebaiknya bangun lebih awal
dan menguruskan diri dengan sempurna. Pada awal pagi seeloknya calon dinasihatkan mendapatkan
restu dari ibu bapa atau waris. Dengan mencium tangan dan meminta doa sudah
memadai. Walaupun perkara tersebut dilihat kecil namun sebenarnya ia mempunyai
nilai yang amat besar. Selain daripada perkara tersebut, persediaan asas
seperti alat tulis, slip peperiksaan dan kad pengenalan harus diperiksa dan di
bawa bersama. Ibu bapa atau waris wajar mengambil berat tentang perihal
anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan. Mereka akan rasa dihargai, difahami
apabila ibu bapa mengambil berat. Restu ibu bapa amat bermakna bagi seseorang.
Restu dapat melancarkan anak-anak menjawab dengan tenang.
Berdasarkan pengalaman
lalu, terdapat pelajar yang panik dan gemuruh apabila hendak menghadapi
peperiksaan. Tip yang boleh dikongsi untuk mengurangkan panik atau gemuruh
ialah dengan menarik nafas sedalam-dalamnya. Calon peperiksaan juga boleh
membuat gerakan ibu jari kaki supaya darah di dalam badan berjalan dengan
lancar. Apabila nafas dan aliran darah
dalam badan lancar secara tidak langsung emosi mereka akan menjadi lebih stabil.
Sebelum masuk ke dewan peperiksaan pelajar-pelajar terutamanya yang muslim di
nasihat supaya membaca sedikit ayat suci al Quran atau doa tertentu supaya
mereka dapat menjawab dengan baik. Bagi
yang bukan muslim pula mereka boleh bertafakur mengikut kepercayaan masing-masing.
Guru-guru sebenarnya mempunyai peranan yang besar. Mereka boleh memberi
taklimat atau menyampaikan tip sebelum, semasa dan selepas peperiksaan. Guru
kelas misalnya sudah tentu mengenali latar belakang anak muridnya. Pelajar
harus diberitahu apa langkah-langkah penting untuk menghadapi peperiksaan. Ini
penting bagi membantu semua pelajar-pelajar agar mendapat keputusan yang baik
dan cemerlang.
Siapa yang tidak kenal
dengan pelajar menjadi ikon negara. Mereka telah mengukir nama di dada-dada akhbar tempatan negara iaitu
Azali Azlan, Nur Amalina Che Bakri, Nik Nur Madihah dan lain-lain lagi.
Kejayaan mereka amat membanggakan rakyat Malaysia. Ini yang harus dicontohi
oleh pelajar-pelajar kita. Pencapaian yang menakjubkan ini wajar dijadikan
inspirasi kepada pelajar, agar mereka boleh terus mencapaikan kecemerlangan di
dalam peperiksaan. Kejayaan yang hendak dicapai haruslah diusahakan
bersungguh-sungguh dari semua pihak agar negara kita dapat melahirkan generasi
yang bijak dan berilmu.
No comments:
Post a Comment